fbpx
ROMEL Morales (kuning, no.19) muncul sebagai watak penting kepada Harimau Malaya apabila menyumbangkan dua gol untuk membelasah Laos 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

Harimau Malaya bangkit ‘baham’ Laos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya meneruskan rentak cemerlang pada kempen kelayakan Piala Asia 2027 apabila membelasah Laos 5-1 pada aksi keempat Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Paling menarik, skuad negara yang terlebih dulu dikejutkan berjaya menyerlahkan kebangkitan luar biasa untuk memastikan kemenangan bersih dalam empat perlawanan awal.

Terdahulu, Harimau Malaya memulakan perlawanan dengan positif apabila terus melancarkan serangan ke kubu lawan namun beberapa peluang terbaik gagal disudahkan dengan jaringan.

Bagaimanapun minit ke-20 Laos berjaya mencipta kejutan buat penyokong negara apabila memperoleh gol pembukaan menerusi Chanthavixay Khounthoumphone.

Peluang terbaik skuad negara hadir pada minit ke-39 namun rembatan Romel Morales hanya singgah di sisi jaring gol Laos sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir 1-0 berpihak kepada pelawat.

Harimau Malaya hanya memerlukan 14 minit di babak kedua untuk memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan percuma menarik Faisal Halim dan ia nyata menghidupkan keghairahan pemain negara untuk memburu jaringan tambahan.

Selepas mempersiakan banyak peluang, Morales segera membalas kepercayaan pengendali negara, Peter Cklamovski apabila meledak dua gol dalam tempoh lima minit iaitu pada minit ke-65 dan 70.

Pertahanan Laos, Khammanh Thapaseut menjadi individu paling kecewa apabila tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-80 sebelum Paulo Josue melengkapkan jaringan kelima Harimau Malaya pada minit ke-81. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN