fbpx
Gambar hiasan.

Hamas manfaatkan hubungan diplomatik Malaysia – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hamas mahu memanfaatkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara lain bagi menyampaikan pandangan kumpulan itu berhubung pelan damai bagi menghentikan peperangan di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu menunjukkan hubungan diplomatik adalah penting walaupun terdapat pandangan tidak dipersetujui Malaysia terhadap dasar negara lain.

“Ada berpandangan kita tak setuju dengan dasar beberapa negara, maka kita harus hubungan tidak rapat atau tidak diundang. Ini seperti mana kontroversi jemputan ASEAN kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Dalam hal ini semua negara Arab, negara Islam malah dalam surat dihantar oleh Hamas, mereka mahu manfaatkan hubungan kita (Malaysia) untuk menyampaikan beberapa pandangan. Itu hubungan diplomasi yang matang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai tindakan segelintir pihak mempertikai sokongan kerajaan Malaysia kepada misi Global Sumud Flotilla (GSF), Freedom Flotilla Coalition (FCC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG)

Perdana Menteri menjelaskan, kepulangan 32 rakyat Malaysia daripada misi itu dalam keadaan selamat membuktikan kekuatan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pemimpin terdahulu negara ini berunding dengan penjajah Inggeris walaupun penjajah Inggeris merompak hak dan memusnahkan jiwa serta pemikiran masyarakat.

“Bayangkan, penjajah Inggeris menjajah kita, merompak hak kita, memusnahkan jiwa dan pemikiran kita, pemimpin kita pergi ke London berunding.

“Satu juta rakyat Vietnam terbunuh (akibat perang), tapi bila ada pelan damai diadakan di Paris. Sebab itu kita kena gunakan ‘contact’ kita. Kita tak boleh elak hal-hal sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, beliau akan berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi petang ini untuk meminta pakar perubatan daripada Malaysia dibenarkan memasuki Gaza melalui sempadan Rafah.

Ujar beliau, keadaan penduduk di wilayah berkenaan memerlukan perhatian daripada sukarelawan dan pasukan perubatan bagi merawat mereka yang cedera dan sakit

“Daripada kita bawa mereka rakyat Gaza ke sini, lebih baik kita bawa pakar kita dan bantuan merentas masuk melalui Rafah dan membantu rakyat Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI