fbpx
PIASTRI berpeluang untuk muncul juara dunia musim ini apabila mendahului carta pelumba ketika ini. - AFP

F1: Piastri perlu abaikan spekulasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Bekas prinsipal pasukan Haas, Guenther Steiner menegaskan pemandu Australia, Oscar Piastri tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan McLaren ketika prestasinya semakin meningkat dalam saingan Formula Satu (F1) musim ini.

Spekulasi mengenai masa depan Piastri mula tercetus selepas Grand Prix (GP) Singapura, apabila muncul laporan bahawa pelumba berusia 24 tahun itu sedang mempertimbangkan untuk berhijrah ke Ferrari menjelang musim 2027.

Namun bagi Steiner, langkah itu disifatkan tidak masuk akal kerana McLaren kini berada di landasan terbaik untuk melahirkan juara dunia menjelang perubahan besar peraturan F1 pada 2026.

“Pertama sekali, dia (Piastri) akan memenangi kejuaraan dunia tahun ini, jadi sebab itu dia patut kekal bersama McLaren.

“McLaren melakukan kerja yang sangat baik ketika ini. Mereka dalam posisi terbaik untuk kekal bersaing apabila peraturan baharu diperkenalkan,” kata Steiner.

Tambahnya, Piastri sudah membuktikan keupayaannya menyaingi rakan sepasukan, Lando Norris, sekali gus menunjukkan masa depannya lebih cerah bersama McLaren.

“Dia sudah buktikan mampu menewaskan Lando. Kalau dia boleh kalahkan Lando tahun ini, dia patut kekal dan terus lawan pada masa depan. Kenapa perlu keluar?” ujar Steiner.

Difahamkan, Piastri kini menilai peluang berpindah ke Ferrari menjelang musim 2027 selepas pasukan Itali itu dilaporkan sedang mencari pelumba terbaik bagi mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

Untuk rekod, Piastri telah menandatangani kontrak jangka panjang bersama McLaren pada Mac 2025 dan dipercayai sekurang-kurangnya hingga musim 2027. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI