LIVERPOOL – Everton memastikan tiada pasukan lain mampu ‘menggoda’ Jordan Pickford apabila bersetuju mengekalkan penjaga gol utama mereka dengan kontrak jangka panjang baharu di Stadium Hill Dickinson.
Pickford, 31, baru sahaja mencipta sejarah bersama England selepas merekodkan jumlah tanpa bolos terbanyak berturut-turut, mengatasi legenda Sir Gordon Banks iaitu satu pencapaian yang membuktikan statusnya antara penjaga gol terbaik dunia.
Meskipun kontrak sedia ada hanya tamat pada 2027, Everton mahu terus menambat khidmatnya sebagai penghargaan atas konsistensi, kepimpinan serta peranannya sebagai tulang belakang pasukan.
Menurut sumber, rundingan bersama wakil pemain telah bermula empat minggu lalu dan dimuktamadkan lebih cepat daripada dijangka selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat terhadap terma baharu.
Pihak pengurusan The Toffees yakin tiada penjaga gol lain di pasaran yang mampu memberi kestabilan seperti Pickford, menjadikan lanjutan kontrak tersebut sebagai langkah strategik dari sudut ekonomi dan prestasi.
Pickford menyertai Everton dari Sunderland pada 2017 dengan nilai £30 juta (RM169.09 juta) yang merupakan rekod Britain ketika itu dan pembelian tersebut kini dianggap antara perjanjian paling berbaloi dalam era pemilikan Farhad Moshiri.
“Pickford bukan sekadar benteng terakhir, dia juga pemimpin yang disegani di bilik persalinan. Dia sentiasa memastikan rakan sepasukan, terutamanya pemain muda, berada dalam semangat terbaik. Dia adalah nadi budaya Everton,” kata sumber dalaman pasukan. – AGENSI