BESUT – Dua pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah, di sini yang dalam perjalanan sekolah maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna, Nissan Serena di Jalan Bukit Kluang di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 7.30 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu Wan Mohamad Shahronny Wan Rosli dan Nik Aqil Faizin Nik Abdul Aziz yang kedua-duanya berusia 13 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dikatakan dalam perjalanan ke sekolah.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangi Wan Mohamad Shahronny dikatakan gagal mengelak lalu merempuh kenderaan Nissan Serena dipandu seorang wanita yang keluar simpang.
“Pemandu kenderaan tersebut dikatakan dalam perjalanan tempat kerjanya di IPG (Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan) di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azamuddin berkata, impak rempuhan tersebut menyebabkan Wan Mohamad Shahronny dan pemboncengnya, Nik Aqil Faizin tercampak ke dalam raya.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE