KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket pemalsuan dokumen yang berselindung di sebalik kediaman mewah akhirnya terbongkar apabila Jabatan Imigresen (JIM) menahan tiga lelaki warga Bangladesh dalam Operasi Khas di sekitar Jalan Jelawat di sini, hari ini.
Operasi bermula pukul 8.30 pagi itu disertai sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil risikan selama dua minggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria bin Shaaban berkata, hasil serbuan, seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Nayeem dipercayai dalang utama bersama dua lagi lelaki senegara disyaki ahli sindiket telah ditahan.
“Siasatan awal mendapati, dua individu masing-masing memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Sektor Pertanian manakala seorang lagi memegang pas pelajar.
“JIM turut merampas 21 pasport Bangladesh dan Myanmar yang disyaki palsu serta 21 helaian muka surat biodata pasport Bangladesh, empat telefon bimbit, komputer serta sebilah pisau pemotong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, sindiket terbabit menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen menggunakan pasport yang diubah suai sebelum hadir ke klinik bagi menjalani pemeriksaan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).
Katanya, sindiket itu dipercayai menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang yang tidak layak (unfit) untuk pemeriksaan kesihatan, dengan mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM350 bagi setiap pasport palsu dan saringan kesihatan.
“Dalam modus operandi mereka, gambar ahli sindiket digunakan pada pasport palsu, namun maklumat peribadi dan nombor asal pasport pelanggan dimasukkan ke dalam dokumen berkenaan bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak dua bulan lalu, dan ini merupakan tangkapan kali ketiga tahun ini bagi sindiket menggunakan modus operandi yang sama,” jelasnya.
Kesemua suspek berusia 25 hingga 31 tahun ditahan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63, dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE