fbpx
Shafiq menyifatkan teknologi AI kini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam kehidupan.

Carabat AI simbol era kehidupan pintar rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAKYAT Malaysia kini hidup dalam dunia yang semakin bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) terutama di tengah gelombang teknologi yang semakin pesat.

Namun, bagi kebanyakan pengguna, dunia peranti pintar masih dianggap kompleks dan mahal dengan kepelbagaian aplikasi yang memerlukan langganan bulanan.

Menyedari cabaran ini, Carabat AI Malaysia tampil memperkenalkan Astana App, sebuah aplikasi gaya hidup berasaskan AI buatan tempatan yang direka untuk menjadikan kehidupan pintar lebih mudah, inklusif dan relevan untuk semua.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Carabat AI, Shafiq Jailani, teknologi AI bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan dalam kehidupan moden.

“Saya melihat potensi besar untuk menghubungkan masyarakat Malaysia dengan teknologi melalui pendekatan yang praktikal dan mampu milik.

“Oleh yang demikian, tercetus idea untuk menghasilkan Astana App yang menjadi nadi kepada keseluruhan ekosistem Carabat AI dan menyatukan pelbagai peranti pintar dalam satu platform tunggal,” katanya ketika dihubungi K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, Astana App dicipta bagi mengatasi masalah utama pengguna yang terlalu banyak aplikasi untuk pelbagai peranti atau barangan eletrik dalam kediaman dan tidak serasi antara satu sama lain.

Astana App bertindak sebagai aplikasi utama yang menyatukan kesemua aplikasi-aplikasi yang diguna pakai bagi produk-produk jenama berbeza dalam kediaman.

Melalui Astana App, pelbagai barangan dalam rumah dapat disatukan kawalannya.

Melalui Astana, pengguna boleh mengawal dan menyelaraskan semua peranti Carabat AI termasuk peranti boleh pakai, kelengkapan rumah dan gajet gaya hidup secara lebih lancar.

Kongsi Shafiq lagi, Carabat AI menyasarkan antara 60,000 hingga 80,000 langganan menjelang akhir tahun 2026.

Ini mencerminkan keyakinan terhadap potensi teknologi tempatan dalam memperkasa kehidupan digital rakyat Malaysia.

“Syarikat ini juga memasarkan pelbagai produk lain seperti cermin mata pintar dengan kamera ultra-jelas 8MP, cincin pintar yang merekod kadar denyutan jantung dan tidur serta aksesori AI seperti tetikus dan pengecas tanpa wayar pada harga mampu milik.

“Semua produk ini dibangunkan oleh bakat muda tempatan yang berpandangan jauh. Carabat AI membuktikan bahawa inovasi Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah dapat membentuk cara hidup generasi masa depan,” ujarnya.

Shafiq turut menegaskan bahawa aspirasi mereka ialah menjadikan teknologi pintar boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan bukan hanya golongan elit bandar.

Seiring dengan aspirasi digital negara, Carabat AI dibangunkan melalui gabungan kepakaran tempatan dan teknologi antarabangsa.

Syarikat ini berhasrat untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi AI di Malaysia, sambil membuka peluang kepada penyelidik dan inovator muda untuk menyumbang kepada ekosistem teknologi pintar yang berkembang pesat.

Lebih daripada sekadar aplikasi, Astana App melambangkan masa depan digital Malaysia sebagai sebuah visi apabila kesihatan, rumah dan gaya hidup disatukan di bawah satu platform.

“Dengan pertumbuhan syarikat kami, ratusan peluang pekerjaan turut dijangka diwujudkan dalam bidang teknikal, peruncitan dan logistik.

“Misi Carabat AI amat jelas iaitu menjadikan AI sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia dengan cara yang mudah, praktikal dan mesra pengguna serta menjadi sebahagian daripada rutin, bukan beban,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI