SINGAPURA – Seorang pejalan kaki terkejut apabila melihat seorang kanak-kanak perempuan bertinggung dan membuang air besar di taman permainan di Tampines, Singapura, lapor portal berita Stomp hari ini.
Kanak-kanak itu dilihat bersama bapa dan saudara perempuannya. Kejadian itu dirakam oleh seorang individu sekitar pukul 9.46 pagi (waktu tempatan) semalam.
“Terdahulu, mereka bermain di taman permainan dan dia (kanak-kanak tersebut) melakukannya (membuang air besar) sebelum meninggalkan tempat itu,” kata individu tersebut yang enggan namanya didedahkan.
“Memang mengejutkan mereka berbuat demikian di tengah-tengah kawasan flat HDB (Lembaga Pembangunan dan Perumahan) pada waktu siang pula,” tambahnya.
Berdasarkan kenyataan Agensi Persekitaran Negara (NEA), sesiapa yang didapati melakukan perbuatan membuang air besar dan kecil di tempat awam boleh didenda SGD$300 (RM980) dan jika disabitkan di mahkamah, boleh didenda sehingga SGD$1,000 (RM3,251). – AGENSI