PETALING JAYA – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat keahliannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal, susulan isu akuan bersumpah (SD) dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti berkenaan.
Lembaga Disiplin Bersatu menerusi kenyataan memaklumkan, empat lagi ketua bahagian parti turut dikenakan tindakan pemecatan keahlian.
Mereka adalah Mohd. Azrudin Md. Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd. Faizal Asmar (Pengerang), Mohd. Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd. Isa Mohd. Saidi (Ampang).
“Lembaga Displin sentiasa bertindak secara telus, adil dan berlandaskan Perlembagaan parti.
“Ahli Bersatu yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman berhak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, Lembaga Disiplin telah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas dan tidak berat sebelah.
“Lembaga Disiplin juga meyeru semua ahli Bersatu mematuhi Perlembagaan dan Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama naik parti Bersatu,” kata Lembaga Disiplin Bersatu.
Pada 25 September lalu, Lembaga Disiplin Bersatu terpaksa menangguhkan prosiding bagi memanggil beberapa pemimpin parti, berhubung isu akuan bersumpah bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panelnya. – KOSMO! ONLINE