SABAK BERNAM – Detik cemas dilalui 10 sekeluarga termasuk bayi dan wanita warga emas apabila sempat menyelamatkan diri sebelum rumah pusaka mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bagan Nira, Sabak di sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu disedari salah seorang penghuni yang terhidu bau hangit ketika mahu pergi ke tandas.
Mangsa, Rumaizah Abd Manaf, 51, berkata ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan sebelum terdengar jeritan adiknya yang memaklumkan tilam terbakar dalam sebuah bilik serta api mula merebak.
“Tidak lama kemudian, bunyi letupan kedengaran turut kedengaran dan kami segera keluar menyelamatkan diri,” katanya di tempat kejadian hari ini.
Tambahnya, dia bersyukur ibunya, Aminah Bahatan, 71, yang sedang tidur di tingkat atas bersama cucu lelaki bayi berusia lebih seminggu turut terselamat dalam kebakaran itu.
Jelasnya, kebakaran itu menyebabkannya mengalami kerugian dianggarkan RM500,000 dan kini tinggal sehelai sepinggang serta menumpang sementara di rumah saudara mara berdekatan.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah kelas C berkeluasan 20 x 70 kaki persegi dan terbakar 100 peratus. – KOSMO! ONLINE