BARCELONA – Gergasi Sepanyol, Barcelona dilaporkan telah memutuskan untuk mengikat kontrak Marcus Rashford secara tetap daripada Manchester United walaupun baru tiga bulan beraksi sebagai pemain pinjaman sejak Julai lalu.
The Catalans teruja dengan perkembangan ditunjukkan Rashford yang dilihat semakin hampir untuk kembali menemui prestasi terbaiknya sejak ‘dibekukan’ oleh pengendali United, Ruben Amorim.
Penyerang berusia 27 tahun itu hilang tempat di Old Trafford sejak Disember tahun lalu dan dipinjamkan ke Aston Villa pada Januari 2025 sehinggakan dia kembali dipanggil untuk mewakili England.
Kecemerlangan itu diteruskan oleh Rashford yang kini sudah meledak tiga gol dan mencipta empat bantuan jaringan dalam 10 perlawanan bersama Barcelona.
Ia termasuk dua jaringannya buat Barcelona menewaskan Newcastle United 2-1 dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di St. James Park pertengahan bulan lalu.
Menurut laporan media England, The Sun, Barcelona mungkin tidak menunggu sehingga tamat saingan musim ini untuk mengaktifkan perjanjian pinjaman Rashford kepada perpindahan tetap bernilai £30 juta (RM169.16 juta).
“Kami tahu apa yang dia (Rashford) boleh diberikan kepada pasukan. Dia seorang pemain yang hebat dan pengalaman luasnya sangat berharga buat mana-mana pasukan termasuk kami.
“Sekarang perjanjiannya adalah pinjaman dan tiada apa-apa penalti. Jika kami mahu teruskan khidmatnya, kami boleh membelinya secara tetap.
“Benar sekarang masih awal untuk bercakap mengenai perkara ini tetapi kami sangat gembira dengan perkembangannya. Kita tunggu dan lihat bagaimana seterusnya nanti,” kata Pengarah Sukan Barcelona, Deco. – AGENSI