fbpx
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh ditemui selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Sukan SEA Thailand 2025 di Wisma OCM, hari ini.

BAM dalam proses tambah jurulatih beregu lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini dalam peringkat perbincangan untuk menambah seorang lagi jurulatih bagi memperkukuh skuad beregu lelaki menjelang Sukan SEA Thailand 2025.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengesahkan permintaan itu dikemukakan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky yang mahu memperkukuh tenaga kejurulatihan menghadapi jadual padat musim depan.

“Saya boleh sahkan memang ada permintaan daripada Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy untuk menambah seorang lagi jurulatih.

“Sekarang ini kami sedang dalam proses, terutamanya Rexy yang sedang menemu duga beberapa calon,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Sukan SEA Thailand 2025 di Wisma OCM, hari ini.

Menurut Kenny, perbincangan masih berjalan dan keputusan rasmi hanya akan diumumkan selepas proses pemilihan selesai sepenuhnya.

“Kami masih dalam proses dan bila semuanya selesai nanti, BAM akan buat pengumuman rasmi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan tambahan itu difokuskan kepada skuad beregu lelaki bagi mengimbangi jumlah jurulatih dengan bilangan pasangan sedia ada.

“Lebih kepada beregu, terutamanya beregu lelaki. Kita tahu berapa ramai pasangan yang kita ada, jadi memang perlu tambahan tenaga jurulatih,” jelasnya.

Ketika ini, nisbah tenaga kejurulatihan agak tinggi dengan hanya dua jurulatih mengendalikan kira-kira 10 pasangan beregu lelaki, menyebabkan setiap jurulatih perlu mengurus beban kerja yang besar.

BAM mahu memastikan setiap pasangan mendapat perhatian lebih seimbang dalam latihan termasuk aspek teknikal dan psikologi, sekali gus menjadikan langkah penambahan jurulatih ini penting untuk pembangunan jangka panjang.

Kenny turut mengesahkan bahawa senarai awal 20 pemain terbaik yang bakal menggalas cabaran di Sukan SEA Thailand akan diumumkan pada Mesyuarat Majlis BAM hujung minggu ini. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN