fbpx
Asyraf Wajdi menerusi perkongsian video di Facebooknya hari ini.

‘Apa berlaku pada generasi muda? Ibu bapa perlu mainkan peranan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa sedih dan kebimbangan terhadap gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda.

Ia susulan insiden tragis membabitkan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang ditikam oleh pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi berkata, beliau amat terganggu dan tersentuh membaca berita berkenaan, terutama apabila kejadian seumpama itu bukan lagi perkara baharu.

“Pemikiran saya amat terganggu dan jiwa saya amat tersentuh dan berduka cita membaca berita yang terbaharu berkenaan dengan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang ditikam mati oleh pelajar tingkatan dua.

“Baru saja kita semua dikejutkan dengan kejadian rogol bergilir-gilir tanpa rasa berdosa. Bahkan dirakamkan oleh pelajar-pelajar di sebuah sekolah menengah yang lain di negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh dua hingga tiga bulan kebelakangan ini, terlalu banyak peristiwa menyedihkan berlaku melibatkan remaja yang menunjukkan tanda-tanda serius mengenai krisis akhlak dan kemanusiaan dalam kalangan generasi muda.

“Apa yang berlaku kepada generasi hari ini? Usahlah kita menunding jari dan berterusan menyalahkan antara satu sama lain.

“Satu tindakan yang bersifat holistik dan drastik perlu dilakukan oleh kita semua,” jelasnya.

Asyraf Wajdi menegaskan bahawa tanggungjawab membentuk peribadi anak-anak bukan hanya terletak di bahu guru dan pihak sekolah semata-mata, sebaliknya bermula di rumah melalui asuhan ibu bapa.

“Bagi saya, ibu bapa juga memainkan peranan penting di samping guru-guru, pihak sekolah, maktab dan pengurusan kerana segalanya bermula daripada rumah.

“Bak kata pepatah arab, mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok jika batangnya dari kayu yang pinggul. Begitulah peribadi seseorang terbentuk,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI