PETALING JAYA – Sebulan berumah tangga, pelakon Fattah Amin menzahirkan kesyukuran dikurniakan seorang isteri penyayang yang bukan sahaja cantik di mata, lembut hati serta sentiasa mendahulukan suami dalam setiap perkara.
Ujar Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, isterinya Amira Othman memiliki keperibadian menenangkan yang disifatkan pelengkap hidup dan anugerah terindah dalam rumah tangganya.
“Amira sentiasa utamakan suami. Itu antara perkara yang buat saya rasa sangat istimewa tentang dia.
“Apa jua keputusan, dia akan dahulukan saya, tanya pendapat, minta izin dan ambil tahu apa yang saya suka.
“Itu buat saya rasa dia sangat istimewa, dia isteri syurga,” katanya dalam TikTok.
Perkongsian pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu tular dalam media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan pengakuan ikhlas tersebut.
“Sejuk hati dengar Fattah cakap macam tu. Nampak betapa dia menghargai isterinya,” komen seorang pengguna media sosial.
“Baru nampak seri kahwin Fattah sejak berkahwin dengan Amira. Semoga pasangan ni kekal bahagia dunia akhirat,” tulis seorang lagi netizen.
“Dengar cara Fattah cerita pun dah tahu Amira tu wanita lembut, penuh hormat pada suami,” ujar seorang peminat
Pasangan sama cantik sama padan itu disatukan dalam majlis pernikahan penuh sederhana di sebuah resort di Sepang pada 14 September lalu.
Seminggu kemudian, mereka diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor. Fattah sebelum ini mengalami episod perceraian dalam perkahwinan pertamanya dengan pelakon Fazura 7 Oktober 2024. Hasil perkahwinan selama tujuh tahun, mereka memiliki seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 5.- KOSMO! ONLINE.