GEORGE TOWN – Sebanyak 53 kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir di seluruh Pulau Pinang berdasarkan rekod kejadian banjir tiga kali atau lebih dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daerah Timur Laut mencatat 10 hotspot, Barat Daya (13), Seberang Perai Utara (6), Seberang Perai Tengah (18) dan Seberang Perai Selatan (6) menjadikan keseluruhan 53 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap dilanda banjir.
“Menerusi ini (kawasan hotspot banjir), kita dapat kenal pasti kawasan tumpuan bagi pelaksanaan projek mitigasi dan pencegahan yang lebih berkesan untuk mengurangkan risiko serta impak terhadap penduduk.
“Sebanyak 389 pusat pemindahan sementara (PPS) juga disediakan di seluruh Pulau Pinang untuk menghadapi kemungkinan bencana,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) di Komtar, di sini hari ini.
Menurut Kon Yeow, walaupun negeri itu mempunyai kawasan hotspot banjir, situasi banjir di Pulau Pinang pada tahun ini dilihat semakin terkawal dan menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Sehingga Oktober 2025, kita tidak menerima laporan kejadian banjir besar. Daripada peruntukan RM2 juta bagi bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir, hanya RM270,000 sahaja telah dibelanjakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE