BANGKOK – Aduan seorang rakyat Perancis membawa kepada penahanan empat askar Israel yang menyertai pesta dadah di sebuah vila di Pulau Koh Pha Ngan, Thailand, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Polis menerima aduan pukul 2.40 pagi (waktu tempatan) hari ini yang melaporkan bahawa sebuah vila berhampiran memainkan muzik kuat dan mengadakan pesta yang bising.
Susulan aduan, polis menyerbu vila berkenaan dan mendapati empat warga Israel berumur antara 26 hingga 27 tahun sedang berpesta, masing-masing dikenali hanya sebagai Daniel, David, Kefia dan Guy. Semua suspek mengaku mereka adalah askar Israel.
Polis memeriksa dokumen dan mengesahkan mereka memasuki serta menetap di Thailand secara sah.
Pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati keempat-empat warga Israel itu memiliki 0.59 gram kokain dan 1.37 gram ekstasi yang dijumpai di dalam salah satu dompet mereka.
Suspek memberitahu bahawa dadah itu dibeli daripada seorang rakan Israel yang nama penuhnya tidak diketahui untuk digunakan semasa pesta bagi meraikan tamatnya perang Gaza.
Kira-kira 10 hingga 15 warga Israel menghadiri majlis itu, namun hanya empat orang yang masih berada di tempat kejadian ketika polis tiba.
Polis membawa keempat-empat warga Israel itu untuk ujian dadah dengan hasilnya menunjukkan Daniel dan Kefia positif methamphetamine dan kokain, manakala David serta Guy positif kokain.
Kesemua mereka dituduh memiliki dadah Kategori 1 dan Kategori 2 untuk kegunaan peribadi dan dibawa ke Balai Polis Koh Pha Ngan untuk tindakan undang-undang. – AGENSI