BANDAR GAZA – Sebanyak 173 trak bantuan memasuki Semenanjung Gaza kelmarin di bawah perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel, kata Pejabat Media Kerajaan Hamas semalam seperti laporan agensi berita Anadolu.
“Kami mengesahkan 173 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza pada 12 Oktober, menandakan hari pertama selepas perjanjian gencatan senjata,” kata kenyataan akhbar pejabat media berkenaan.
Menurutnya, bantuan termasuk tiga treler gas memasak dan enam lori membawa bahan api diesel bagi memastikan kedai roti, penjana dan hospital dapat terus beroperasi.
Namun katanya, kuantiti bantuan kemanusiaan yang memasuki wilayah Palestin itu masih jauh daripada mencukupi sekali pun bagi memenuhi keperluan minimum untuk lebih 2.4 juta orang.
Pejabat media sama mengulangi keperluan mendesak untuk membawa masuk bantuan besar-besaran secara berterusan dan teratur khususnya bahan api, gas memasak serta bekalan perubatan.
Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza yang menempatkan hampir 2.4 juta penduduk selama hampir 18 tahun dan mengetatkan kepungan pada Mac lalu. Rejim Zionis menutup semua lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat.
Selama lebih dua bulan, Israel hanya membenarkan purata 60 hingga 70 trak bantuan setiap hari untuk memasuki Gaza, selain sebilangan kecil trak komersial, lapor laman berita Middle East Monitor. Penghantaran itu tidak termasuk bahan api atau gas.
Terdahulu, jawatankuasa rasmi kerajaan Palestin di Gaza menerbitkan senarai penduduk yang layak menerima gas memasak, sebagai sebahagian daripada usaha mengawal selia pengedaran di seluruh perbandaran.
Pengagihan gas memasak bermula kelmarin, di mana setiap orang akan menerima satu silinder yang mengandungi 8 kilogram gas pada harga 60 shekel (RM77). – AGENSI