PETALING JAYA – “Saya tidak akan pergi dari sini kecuali syurga,” itu antara kata-kata oleh aktivis dan wartawan Palestin, Saleh al-Jafarawi kepada bapanya ketika dia masih hidup.
Kenyataan Saleh dikongsikan oleh bapanya sewaktu pengebumian pemuda itu yang mana video berkenaan dimuat naik rakan wartawan di Gaza, Belal Mortaja pada Instagram, seterusnya tular di media sosial.
“Dia diberi peluang untuk bersama ibunya yang sakit, tetapi dia beritahu satu demi satu perkataan. ‘Ayah, saya tidak akan pergi dari sini kecuali ke syurga. Saya tidak akan meninggalkan Gaza dan saya tidak akan meninggalkan misi ini’,” kata bapa Saleh.
Bapanya turut menggambarkan kehidupan Saleh sebagai satu tujuan untuk menyampaikan kepada masyarakat dunia berhubung penderitaan penduduk Palestin di Gaza.
“Itu adalah misi dan dia bawa di bahunya untuk menyampaikan penderitaan penduduk Gaza. Dia adalah lelaki terbaik menyampaikan mesej ini,” katanya.
Pada ruangan komen, orang ramai kagum dengan kesungguhan Saleh sebagai aktivis dan wartawan, malah mereka turut mendoakan keamanan dan kesejahteraan penduduk Gaza.
“Betul-betul sebagai hero. Wahai Saleh, berehatlah engkau dengan tenang,” komen pengguna Instagram Ana Surac.
“Begitu banyak kesakitan dan penderitaan ditanggung bapa Saleh, tetapi dia masih boleh bercakap secara hormat dan tenang. Tak ada Zionis yang boleh bercakap seperti ini,” kata Nurkhan1175.
“Saleh disayangi oleh penduduk Gaza dan juga dunia. Saleh, kamu akan dirindui. Terima kasih kerana menunjukkan kepada dunia tentang Gaza,” komen No Ome.
Media melaporkan, aktivis dan wartawan Palestin, Saleh al-Jafarawi yang terkenal kerana mendokumentasikan perang genosid di Gaza, terbunuh ketika membuat liputan pertempuran antara kumpulan bersenjata di Bandar Gaza, lapor laman berita Middle East Eye.
Saluran berita Al Jazeera melaporkan, Saleh ditembak mati militia bersenjata di kejiranan Sabra, Bandar Gaza ketika melaporkan pertempuran antara kumpulan disokong Israel dan pejuang Hamas.
Menurut saluran berita Al Jazeera, sejumlah penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal turut terbunuh semasa pertempuran itu, apabila kumpulan-kumpulan bersenjata cuba mengeksploitasi kekosongan keselamatan di Bandar Gaza berikutan gencatan senjata. – KOSMO! ONLINE