PETALING JAYA – Pembebasan abang kepada aktivis dan wartawan ikonik Palestin, Saleh al-Jafarawi yang menjadi tahanan Israel mengundang sebak orang ramai berikutan pemuda itu tidak dapat meraikan detik-detik kegembiraan berkenaan.
Menerusi beberapa gambar dan video tular di media sosial, Naji al-Jafarawi iaitu abang kepada Saleh telah dibebaskan hari ini, namun ramai yang bersedih ia tidak dapat diraikan bersama adiknya.
Berdasarkan video yang tular, Naji dilihat menangis kegembiraan serta memeluk ahli keluarga selepas dibebaskan.
“Naji iaitu abang Saleh dibebaskan hari ini daripada penjara penjajah Israel. Kami ucapkan selamat tinggal kepada Saleh hari ini, tetapi abangnya tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama adiknya,” menurut kapsyen dimuat seorang wartawan Gaza, Belal Mortaja pada Instagram.
Pada ruangan komen, ramai yang merindui Saleh dan bersedih melihat Naji tidak dapat bersama-sama meraikan kegembiraan tersebut.
“Alhamdulillah, dia bebas sekarang. Rindu Saleh,” kata seorang pengguna Instagram.
“Saleh, saya berharap awak hidup lagi dan raikan bersama-sama dengan senyuman,” komen seorang individu.
“Saleh menantikan saat-saat ini,” komen seorang lagi pengguna Instagram.
Media melaporkan, Hamas menyerahkan 20 tebusan Israel yang masih hidup hari ini di bawah perjanjian gencatan senjata, ketika Presiden Donald Trump dan pemimpin dunia lain bersiap sedia untuk sidang kemuncak mengenai Gaza.
Pembebasan itu adalah sebahagian syarat perjanjian gencatan senjata tajaan Trump, dengan Israel akan membebaskan hampir 2,000 tahanan yang ditahan di penjara-penjaranya sebagai pertukaran.
Terdahulu, aktivis dan wartawan Palestin, Saleh al-Jafarawi yang terkenal kerana mendokumentasikan perang genosid di Gaza, terbunuh ketika membuat liputan pertempuran antara kumpulan bersenjata di Bandar Gaza, lapor laman berita Middle East Eye.
Saluran berita Al Jazeera melaporkan, Saleh ditembak mati militia bersenjata di kejiranan Sabra, Bandar Gaza ketika melaporkan pertempuran antara kumpulan disokong Israel dan pejuang Hamas.
Menurut saluran berita Al Jazeera, sejumlah penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal turut terbunuh semasa pertempuran itu, apabila kumpulan-kumpulan bersenjata cuba mengeksploitasi kekosongan keselamatan di Bandar Gaza berikutan gencatan senjata. – KOSMO! ONLINE