PETALING JAYA – Gergasi Amerika Selatan, Uruguay melakar kemenangan kedua di bumi Malaysia selepas menewaskan jaguh Asia Tengah, Uzbekistan 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Melaka sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Uruguay yang dikendalikan oleh Marcelo Bielsa membariskan kesebelasan utama terdiri daripada Federico Vinas, Rodrigo Zalazar, Kevin Amaro dan Juan Manuel Sanabria.
Pasukan La Celeste dilihat bermula garang apabila berjaya mendominasi perlawanan dengan Uzbekistan yang dikendalikan oleh Fabio Cannavaro pula mempamerkan taktikal serangan balas pantas.
Perlawanan agak seimbang pada babak pertama dengan beberapa peluang mudah dipatahkan oleh benteng pertahanan.
Gol pertama Uruguay dijaringkan oleh Facundo Torres pada minit ke-51 sebelum Sanabria menggandakan kelebihan 2-0 berselang sembilan minit kemudian.
Tersentak dengan gol tersebut, Uzbekistan memperkemaskan jentera serangan dan berjaya membolosi pasukan ranking ke-15 dunia itu menerusi penyudah Ruslanbek Jiyanov pada minit ke-82 dengan keputusan kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut memberi tonik terbaik buat pasukan kendalian Marcelo Bielsa yang sudah pun mengesahkan slot automatik ke pentas Piala Dunia 2026.
Bielsa sebelum ini telah membuat keputusan untuk tidak memanggil beberapa pemain berkelas dunia seperti tonggak Real Madrid, Federico Valverde, Ronald Araujo (Barcelona), Darwin Nunez (Al Hilal) dan Manuel Ugarte (Manchester United). – KOSMO! ONLINE