KUALA SELANGOR – Tular sebuah video memaparkan aksi cemas apabila anggota polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi menahan seorang lelaki yang mengamuk sambil membawa pisau pemotong daging di Taman Jasa, Ijok di sini semalam.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan suspek berjaya ditahan oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6 petang memaklumkan seorang lelaki mengamuk dan membawa pisau pemotong daging.
Katanya, lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan mahu menyerang orang awam di lokasi berkenaan.
“Polis yang tiba di lokasi mendapati lelaki itu mengamuk sambil menjerit dan memegang senjata tajam. Anggota polis berjaya menahan suspek dan tiada kecederaan berlaku dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, suspek direman selama enam hari mulai hari ini sehingga 18 Oktober untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Siasatan mendapati suspek tidak terlibat dalam kes samun seperti yang ditularkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE