fbpx
ASHRAFF yang cemerlang menerima Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik sempena Istiadat Pentauliahan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan 2025 mengakui adakalanya berasa terbeban dan ingin berundur.

‘Saya hampir putus asa bila akademik. kepimpinan bertembung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Muhammad Ashraff Mohd. Hisham, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Rangkaian Komputer) dengan Kepujian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bukanlah asing dalam kalangan warga kampus. Keperibadiannya yang tenang, disulami dengan semangat kepimpinan dan kecintaan terhadap khidmat masyarakat, menjadikan anak jati Johor Bahru ini contoh nyata seorang pemimpin muda yang holistik serta berwibawa.

Menurutnya yang lebih mesra disapa Ashraff, perjalanannya bermula dengan minat yang mendalam terhadap kepimpinan dan khidmat masyarakat sejak awal pengajian di UniSZA.

Minat itu diterjemahkan melalui penglibatannya dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan badan beruniform pelajar termasuk penyertaannya dalam Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA).

Hasil dedikasi selama tiga tahun, dia bukan sahaja ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam, bahkan turut menerima Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik sempena Istiadat Pentauliahan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan 2025.

Ia merupakan satu pencapaian membanggakan yang bukan datang bergolek tetapi melalui disiplin dan semangat juang yang sangat tinggi.

Membahagikan masa antara pengajian dan kepimpinan bukan sesuatu yang mudah. Namun, bagi jejaka berusia 22 tahun ini, keseimbangan datang dari kesedaran terhadap keutamaan.

“Saya amalkan prinsip ‘study smart, serve smart’. Bila belajar, saya fokus sepenuhnya. Bila memimpin, saya delegasikan tugasan dengan jelas.

“Itulah cara saya pastikan kedua-duanya berjalan seiring,” ungkapnya saat membuka bicara bersama K-Kampus.

Akui Ashraff , penglibatannya dalam SISPA membentuk pendekatan kepimpinannya iaitu tegas dalam prinsip tetapi terbuka dalam komunikasi.

“Bagi saya, kepimpinan bukan sekadar memberi arahan. Kepimpinan yang berkesan bermula dari teladan, bukan sekadar kata-kata,” ujarnya.

Falsafah itu diterjemah dalam setiap peranan yang digalasnya termasuk dalam Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA selama dua sesi berturut-turut, satu tanggungjawab besar yang menuntut kematangan dan ketahanan emosi.

Ashraff (tengah) percaya kepimpinan bukan sekadar memberi arahan tetapi bermula daripada teladan dan bukan hanya kata-kata.

Sementara itu, melalui penglibatan di peringkat antarabangsa seperti program di Jepun dan ASEAN, dia menyedari pentingnya memahami budaya dan kerjasama serantau.

“Setiap negara ada cara tersendiri. Di Jepun, saya belajar nilai ketekunan dan inovasi. Di ASEAN, saya faham betapa pentingnya kerjasama.

“Seorang pemimpin masa kini perlu berfikir secara global tetapi tetap berakar pada identiti sendiri,” tambahnya.

Ashraff percaya bahawa kepelbagaian adalah kekuatan, bukan sebagai halangan.

“Kesatuan itu akan terbina bila kita raikan perbezaan. Saya sentiasa tekankan hormat, tolak ansur dan matlamat bersama.

“Bila suara ahli didengari, semangat kerjasama akan terbina secara semula jadi,” katanya penuh yakin.

Di sebalik pencapaian, prinsip hidup Ashraff tetap utuh iaitu amanah, integriti dan memberi manfaat.

“Kita dipilih bukan untuk diri sendiri tetapi untuk orang lain juga.

“Bila kita pegang amanah dengan jujur, keputusan yang dibuat lebih ikhlas dan memberi impak positif,” ujarnya.

Pernah beberapa kali berasa terbeban dan hampir berundur, Ashraff tidak malu mengakui bahawa setiap pemimpin juga hanya manusia biasa.

“Saya hampir putus asa bila akademik dan kepimpinan bertembung. Tetapi sokongan keluarga dan rakan seperjuangan buat saya sedar dan tidak salah untuk berehat, namun jangan sesekali berhenti.

“Dari situ saya belajar menghargai proses, bukan hanya keputusannya. Jangan takut mencuba. Jangan hadkan diri di bilik kuliah sahaja.

“Cemerlang akademik itu wajib, namun kelebihan sebenar lahir bila kita keluar dari zon selesa, menyertai aktiviti dan berani memikul tanggungjawab,” katanya.

Menggenggam prinsip yang jelas, nilai yang kukuh dan semangat yang tidak pernah padam, anak muda ini membuktikan bahawa kepimpinan bukan tentang kuasa tetapi memberi nilai dan impak berterusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN