KUCHING – Artifak antik kaum Bidayuh yang dijadikan pameran antara barangan musnah dalam kebakaran di Rumah Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini, malam tadi.
Pengarah Jualan, Pemasaran dan Acara SCV, Zaini Zainuddin berkata, rumah itu yang dibina sekitar tahun 2007 menempatkan artifak dan bahan pameran penting hasil sumbangan Jabatan Muzium Sarawak serta komuniti Bidayuh sendiri.
“Sejak SCV dibuka pada tahun 1990, inilah kali pertama kami berdepan cabaran sebegini. Kami akan berusaha membina semulanya secepat mungkin, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCV, Jane Lian Labang berkata, SCV akan beroperasi seperti biasa.
“Kawasan ini (Rumah Bidayuh) akan ditutup sementara, bagi rumah-rumah etnik lain, panggung dan kafe akan beroperasi seperti biasa,” katanya.-KOSMO! ONLINE