fbpx
Hakemal pada sidang akhbar kejayaan tangkapan dan rampasan melibatkan sindiket penyeludupan migran, di Briged Tengah PGA, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

Rempuh polis, ‘transporter’ seludup PATI antara 18 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CHERAS – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket penyeludupan warga asing dengan menahan 18 individu menerusi beberapa siri serbuan di Kajang, Rawang, Kuala Langat dan Kampung Bemban, Melaka, Jumaat lalu.

Operasi bermula pukul 3 pagi itu dilaksanakan susulan insiden tiga kenderaan merempuh sekatan jalan raya berhampiran Pos PGA Pulau Carey pada 28 Julai lalu.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner, Hakemal Hawari berkata, hasil risikan pihaknya menahan seramai lima ahli sindiket terdiri daripada empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan.

Menurutnya, mereka yang ditahan disyaki berperanan sebagai tekong, ejen, ‘transporter’ dan penjaga rumah transit.

Hakemal berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit turut aktif di media sosial menawarkan khidmat menyeludup PATI dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500.

“Modus operandi sindiket adalah untuk menghantar warga asing ke lokasi yang ditentukan yang mana PATI ini akan dibawa ke satu tempat sebeum diagihkan.

“Bagaimanapun, lokasi sindiket ini kerap berubah-ubah, namun ‘hot spot’ yang dikenal pasti adalah Pantai Pulau Carey dan Morib,” katanya.

Dalam pada itu, Hakemal berkata, serbuan itu turut menahan seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita warga Indonesia.

Katanya, pasukan operasi merampas lima kenderaan iaitu Toyota Vios, Toyota Fortuner, dua buah Toyota Hilux dan sebuah Ford Ranger.

“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 30-an diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.

“Ke disiasat di bawah Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” jelasnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan dua kenderaan yang sarat membawa PATI bertindak nekad merempuh kereta anggota polis sehingga lima das tembakan terpaksa dilepaskan di Plaza Tol Telok Panglima Garang di sini, 10 Oktober lalu.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu melibatkan pacuan empat roda dan kereta kenderaan utiliti sukan Toyota Fortuner dipandu suspek yang meloloskan diri.

Polis kemudian bertindak mengejar Fortuner itu sebelum mendapati ia ditinggalkan di bahu jalan dalam keadaan pintu terbuka tanpa sebarang individu.

Dalam pada itu, Hakemal berkata, pihaknya masih mengesan saki baki ahli sindiket yang masih bebas serta mengesan sebuah kenderaan disyaki terlibat dalam kegiatan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI