fbpx
Mohd. Puad.

Presiden UMNO tidak rosakkan imej BN, MCA – Mohd. Puad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING – Tidak benar kes pendakwaan dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini merosakkan imej Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, BN di bawah pimpinan Ahmad Zahid sebaliknya merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Katanya, BN malah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor serta kekal berkuasa di Pahang dan Perak di bawah pimpinan Ahmad Zahid.

“BN menang banyak PRK. Maka tidak benar kes pendakwaan Ahmad Zahid (sebelum ini) merosakkan imej BN atau jadi punca MCA menang dua kerusi saja.

“MCA kalah teruk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15 kerana imej MCA. Parti MCA yang menjatuhkan maruah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi membidas kritikan pemimpin MCA ke atas Ahmad Zahid selepas Pengerusi BN itu menyifatkan sesetengah parti komponen BN ibarat kanak-kanak kehilangan mainan dan berharap untuk mendapatkannya semula.

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker malah mendakwa kes dihadapi Ahmad Zahid memerangkap kredibiliti dan menenggelamkan integriti BN walaupun keputusan kes dilepas tanpa dibebaskan.

Terdahulu, Mohd. Puad berkata, beberapa pemimpin MCA dan MIC ‘panas punggung’ dan melatah apabila Presiden UMNO menyebut mengenai ‘mainan’ terutama Lian Ker yang membangkitkan soal maruah.

Menurut beliau, terdapat kajian menunjukkan ahli MCA dan MIC mahu parti itu terus kekal dalam BN seperti didedahkan Ahmad Zahid, maka kajian itu yang perlu dijawab oleh mereka yang melatah.

“Kalau mahu bercakap pasal maruah, Ti (Lian Ker) patut desak MCA buat Mesyuarat Agung Luar Biasa dan putuskan mahu kekal atau tidak dalam BN?

“Kenapa teragak agak? Atau bertanding di PRN Sabah. Kita mahu melihat MCA bermaruah atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Puad meminta MCA tidak menjadikan DAP sebagai alasan dan kambing hitam memandangkan UMNO menang PRK Nenggiri yang merupakan kubu Pas.

“Itu majoriti Melayu. Apa kena mengena dengan DAP? Pulihkan diri sendiri seperti apa yang UMNO lakukan

“Sebab itu MCA khususnya, jangan cakap banyak. Buktikan menang satu kerusi di PRN Sabah. Itu sudah memadai untuk membuktikan MCA ada maruah,” katanya.

Ujar beliau, kesilapan besar pemimpin MCA adalah hanya menyalahkan UMNO sebagai punca kemerosotan BN, tapi gagal melihat kelemahan sendiri yang merosot dari satu PRU ke PRU yang lain.

“Kalau MCA dan MIC jujur, benarkan rakan-rakan ‘Friends of BN’ jadi ahli baru BN. Kenapa disekat jika kamu sendiri tidak berupaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI