KEMAMAN – Seorang pesara berputih mata kerugian RM301,350 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 51 tahun yang bersara awal tersebut telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, pada mulanya, lelaki berkenaan tertarik dengan iklan pelaburan saham berkenaan yang dilihatnya di dalam laman Facebook pada 13 Julai lalu.
“Mangsa kemudianya menyertai skim pelaburan tersebut dengan modal keseluruhan RM301,350.
“Ia dibayar secara berperingkat menerusi 14 transaksi ke dalam lima akaun bank berasingan antara 16 Ogos hingga 2 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Muhamad berkata, lelaki itu akhirnya sedar dia sudah tertipu apabila tidak memperoleh apa-apa pulangan daripada pelaburan tersebut.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE