SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menafikan dakwaan semua stesen minyak di negeri ini akan diperiksa susulan aduan kononnya jumlah isian petrol makin berkurangan selepas pelaksanaan program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95).
Pengarah KPDN negeri, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pemeriksaan ke atas premis itu mula dilaksanakan sejak 30 September lalu sebaik subsidi Budi95 diumumkan, bukannya disebabkan aduan.
Katanya, setakat 13 Oktober lalu, sebanyak 397 stesen minyak diperiksa dengan purata 30 premis setiap hari. Pemeriksaan mendapati tiada sebarang pelanggaran peraturan dikesan.
“Dakwaan kononnya semua stesen minyak akan diperiksa kerana isian petrol berkurangan adalah tidak benar. Pemeriksaan dilakukan secara berterusan bagi memastikan ketepatan alat pam dan ketelusan harga bahan api,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan di media sosial mengatakan stesen minyak akan diperiksa susulan banyak aduan diterima berkaitan isian petrol kurang berbanding sebelum ini sejak Budi95 dilaksanakan.-KOSMO! ONLINE