fbpx
Trump memegang payung sambil menunjukkan isyarat bagus semasa menaiki Air Force One sebelum berlepas dari Pangkalan Bersama Andrews di Maryland semalam. - AFP

Perang Gaza telah berakhir – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji peranan Turkiye dalam usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza, dengan menyifatkan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai hebat dan menekankan pengaruh Ankara di rantau itu, lapor laman berita TRT World semalam.

“Turkiye juga hebat. Presiden Erdogan hebat. Beliau benar-benar banyak membantu dan beliau sangat dihormati. 

“Beliau mempunyai negara yang sangat kuat, tentera yang sangat, sangat kuat. Dan beliau banyak membantu,” kata Trump kepada pemberita dalam perjalanan ke Asia Barat menjelang persidangan damai antarabangsa mengenai gencatan senjata Gaza.

Trump turut menyenaraikan beberapa negara yang katanya, memainkan peranan dalam rundingan gencatan senjata. Ia termasuk Emiriyah Arab Bersatu, Qatar, Arab Saudi, Indonesia dan Jordan.

Bercakap kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One pada permulaan lawatan itu, Trump turut menepis kebimbangan mengenai perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

“Perang sudah tamat. Okay? Anda faham?” kata Trump ketika ditanya sama ada beliau yakin bahawa konflik antara Israel dan Hamas telah selesai.

Ditanya sama ada gencatan senjata akan diadakan, beliau menambah: “Saya fikir ia akan bertahan. Saya rasa orang ramai sudah bosan dengannya. Sudah berabad-abad (tempoh konflik),” katanya.

Kenyataan Trump dibuat ketika beliau berlepas ke Israel, di mana beliau dijangka bertemu dengan keluarga tebusan dan berucap di Knesset atau parlimen.

Trump kemudiannya akan menuju ke Sharm el-Sheikh di Mesir, di mana beliau akan menyertai beberapa pemimpin dunia di Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh hari ini. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI