fbpx
Keadaan di stesen LRT Pudu.

Penumpang terkandas di LRT Pudu, insiden kedua dalam seminggu


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ramai penumpang terkandas selepas perkhidmatan LRT  laluan Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan teknikal antara Stesen Hang Tuah dan Pudu hari ini.

Gangguan itu menyebabkan keadaan di Stesen LRT Pudu di sini menjadi sesak apabila tren tidak dapat meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Penumpang terpaksa menunggu lama dan ada yang mencari pengangkutan alternatif seperti kenderaan e-hailing dan bas untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Sebelum ini, Rapid KL dalam kenyataannya berkata kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan bagi memulihkan operasi sepenuhnya secepat mungkin.

Bagi memastikan perkhidmatan terus berjalan, operasi tren alternatif telah diaktifkan. Tren dari Sentul Timur berpatah balik di Stesen Pudu, manakala tren dari Putra Heights dan Ampang berpatah balik di Stesen Chan Sow Lin.

Selain itu, tren perantara turut disediakan bagi menghubungkan Stesen Chan Sow Lin ke Pudu.

Pada Jumaat lalu, ribuan penumpang terkandas selepas LRT laluan Kelana Jaya tergendali akibat gangguan bekalan kuasa di landasan antara Stesen Universiti dan Stesen Abdullah Hukum.

Pengguna dinasihatkan supaya menyemak maklumat terkini menerusi laman media sosial rasmi Rapid KL sebelum memulakan perjalanan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI