PETALING JAYA – Setiap pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di negara ini mesti seimbang antara kemajuan fizikal dengan kesejahteraan insan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu menjadi tumpuan pada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-49 yang dipengerusikan beliau, hari ini.
“Saya tegaskan bahawa setiap kelulusan pembangunan baharu mesti berpaksikan nilai kemanusiaan, sama ada projek berasaskan bandar pintar, kecanggihan teknologi dan kecerdasan buatan.
“Bandar pintar bukan sekadar binaan megah atau sistem canggih, tetapi cerminan bagaimana kemajuan dapat mengangkat kesejahteraan hidup rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Anwar berkata, masalah asas rakyat seperti lif usang di perumahan awam, gerai yang uzur dan kemudahan awam yang daif tidak boleh diabaikan.
Menurut beliau, kejayaan pembangunan bukan diukur pada menara yang menjulang, tetapi pada sejauh mana rakyat hidup dengan selesa, sejahtera dan bermaruah.
Justeru, katanya, beliau turut menyeru kerajaan negeri menumpukan perhatian kepada pemuliharaan warisan dan budaya khususnya di kawasan bandar lama dan lokasi bersejarah.
Ujar beliau, pembangunan moden perlu memelihara seni bina tempatan dan nilai warisan bangsa agar kemajuan tidak mengorbankan jati diri serta keindahan yang membentuk identiti Malaysia.
“Hasil mesyuarat ini akan menjadi panduan kepada agensi perancang dan pihak berkuasa tempatan dalam merangka dasar serta meluluskan projek masa hadapan.
“Supaya pembangunan negara terus berpaksikan keseimbangan antara fizikal, teknologi dan kemanusiaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE