fbpx
Nadzmi mohon diberikan ruang buat isterinya, Ardell Aryana yang belum sihat sepenuhnya selepas pulang ke tanah air dari misi Global Sumud Flotilla (GSF).

‘Minta semua bersabar, tunggu Ardell sembuh mental fizikal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Masih dalam fasa pemulihan, pelakon Nadzmi Adhwa mohon diberikan ruang buat isterinya, Ardell Aryana yang belum sihat sepenuhnya selepas pulang ke tanah air dari misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Nadzmi atau nama lengkapnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 33, berkata, buat masa ini Ardell belum dapat memenuhi mana-mana permintaan yang ingin mendengar pengalamannya sepanjang pelayaran terutama ketika berada dalam tahanan tentera Israel.

“Saya tahu ramai yang telefon, hubungi dan ambil berat sangat tentang Ardell, nak dengar sendiri (pengalaman) daripada dia.

“Saya minta semua bersabar, tunggu (sampai) Ardell betul-betul sembuh fizikal dan mental ya.

“Kita sama-sama doakan dan tunggu Ardell sembuh. Insya-Allah Ardell (akan kembali),” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Pada masa sama, bapa kepada dua cahaya mata itu memohon maaf kepada semua pihak berhubung kondisi membabitkan isterinya.

“Kepada keluarga, wartawan dan kawan-kawan, kami minta maaf (dan) minta masa lagi.

“Ardell sayang semua dan menghargai ingatan anda semua. Semoga Allah merahmati kalian,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Ardell juga pelakon yang menyertai misi kemanusiaan GSF bersama hampir 500 aktivis termasuk 22 sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.

Ketika beberapa hari di penjara, dia mendedahkan berdepan kekasaran apabila tudungnya direntap bahkan ditumbuk di muka selain mengalami kecederaan tisu bahagian bahu.

Berikutan kesihatannya, Ardell rebah sebaik menuju ke bas sewaktu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Oktober lalu yang membuatkan ramai bimbangkan keadaannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI