fbpx
AHMAD ZAHID mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di Jerantut hari ini.

Malaysia tidak kebal ancaman bencana, PKOB diaktifkan lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Malaysia tidak kebal daripada ancaman bencana dan seluruh jentera pengurusan bencana negara perlu bersiap sedia sepenuhnya menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

Sehubungan itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat mengingatkan semua jentera kerajaan mengambil iktibar daripada kejadian gempa bumi lemah di Segamat, Johor pada 24 Ogos lalu serta kejadian banjir dan tanah runtuh di Sabah pada awal September lalu sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Untuk itu saya telah mengarahkan supaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat diaktifkan lebih awal bagi memastikan pemantauan dan koordinasi berjalan lancar sebelum bermulanya MTL.

“Untuk itu, seluruh jentera pengurusan bencana negara perlu bersiap sedia sepenuhnya menjelang MTL 2025/2026,”katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di sini hari ini.

Menurutnya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan MTL 2025/2026 bermula awal November 2025 hingga penghujung Mac 2026, dan akan dipengaruhi oleh fenomena La Nina lemah.

Katanya, keadaan ini membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa lima episod yang berlaku setiap musim.

Beliau memberitahu Sabah dijangka mengalami hujan melebihi paras purata dari November 2025 hingga Februari 2026, manakala kemuncak hujan dijangka pada Disember 2025, melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

“Risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.

“MetMalaysia akan mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada, buruk, bahaya) sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi membolehkan tindakan pantas dilaksanakan,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, daripada aspek persediaan mitigasi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan terdapat pengurangan ketara lokasi panas (hotspot) banjir daripada 4,619 lokasi pada 2024 kepada 3,683 lokasi tahun ini yang menunjukkan perkembangan positif hasil daripada pelaksanaan projek mitigasi kerajaan.

“Walaupun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa pembangunan pesat masih menyumbang kepada risiko banjir dan komitmen negeri amat diperlukan untuk memastikan usaha pencegahan banjir dapat dilaksanakan secara berkesan,”katanya.

Sementara itu beliau memberitahu Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga melaporkan sebanyak 110 kejadian tanah runtuh di Pantai Barat Sabah telah berlaku sehingga 19 September lalu yang telah mengorbankan 13 nyawa.

Katanya, sejumlah 34 lokasi cerun kritikal berisiko tinggi kini dipasang dengan Sistem Amaran Awal (EWS) bencana geologi tanah runtuh.

“Saya telah memberi mandat kepada JMG sebagai penyelaras pemantauan cerun berisiko di seluruh negara serta perlu kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain dan juga pihak swasta.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kesiapsiagaan agensi-agensi kerajaan bagi menghadapi musim MTL 2025/2026 dan saya telah meminta supaya Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) melihat mekanisme pengurusan pasca bencana dengan mengambil kira peranan agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat industri berkaitan kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan penduduk setempat,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI