KUALA LUMPUR – Industri pelancongan negara yang berpusat di ibu negara kini berdepan satu lagi isu membimbangkan dengan wujudnya kegiatan warga asing yang menawarkan ‘pakej haram’ termasuk perkhidmatan pengangkutan dan penginapan.
Kegiatan kumpulan warga asing ini terbongkar selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menahan 10 kenderaan pelbagai jenis dalam Operasi Fokus (Prebet Sapu) di sekitar Bukit Bintang, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail kelmarin.
Daripada jumlah itu, lima kenderaan dipandu warga asing dari Bangladesh, Yemen, India dan Sudan, manakala selebihnya oleh pemandu tempatan yang turut disyaki bersekongkol.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, modus operandi kumpulan ini cukup licik iaitu menukar warna dan cat kenderaan persendirian supaya kelihatan seperti van persiaran menunggu pelancong di kawasan hotel ketika waktu tengah hari untuk mencari pelanggan.
Katanya, kesemua kenderaan yang ditahan membabitkan kesalahan salah guna lesen kenderaan motor (LKM), beroperasi tanpa lesen pengendali (KPA) serta tiada lesen memandu.
“Ketika ditahan, seramai 35 penumpang dari pelbagai negara termasuk China, Kanada, Pakistan, Bangladesh, India, Palestin, dan Iraq didapati sedang menggunakan perkhidmatan prebet sapu ini untuk perjalanan ke lapangan terbang atau destinasi pelancongan lain.
“Ada antara mereka yang membayar pakej sehingga RM2,100 untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka, yang merangkumi penginapan dan pengangkutan yang diuruskan oleh ejen pelancongan,” katanya ketika ditemui selepas operasi di Depoh Sita JPJ WPKL kelmarin.

Difahamkan, kebanyakan warga asing yang ditahan itu mempunyai dokumen, namun tidak memiliki lesen memandu.
Malah, ada yang masuk ke negara ini sebagai pelancong selain bekerja termasuklah seorang lelaki Yemen yang dikesan memandu kenderaan milik isterinya yang juga wanita tempatan.
Hamidi berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 26 notis saman kepada pemandu dan pemilik kenderaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
“Kita dapati taktik mereka adalah menunggu di kawasan hotel, terutama pada waktu puncak ketika orang ramai mendaftar keluar dari hotel iaitu sekitar 12 tengah hari,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidi menegaskan, pemilik berdaftar bertanggungjawab ke atas kenderaan dan tindakan akan diambil sekiranya mereka membenarkan warga asing memandu tanpa lesen untuk tujuan komersial.
“JPJ Kuala Lumpur amat komited dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya.
“Pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan semua pengguna dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hamidi turut mendedahkan seorang pemandu disyaki prebet sapu turut dikesan menukar cat kenderaan persendirian supaya kelihatan seperti van pelancong bagi mengaburi pihak berkuasa.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati, rata-rata daripada mereka menerima upah sebanyak RM3,000 sebulan sebagai pemandu pelancong.
“Seperti van yang kita sita ini, ia adalah kenderaan persendirian yang dicat seakan-akan warna kenderaan komersial membawa pelancong untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Namun, jika kita lihat secara teliti, tiada penandaan badan kenderaan termasuk van pelancong, nama syarikat dan nombor lesen pelancongan,” katanya. -KOSMO! ONLINE