GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang pengarah syarikat membayar denda RM10,000 selepas mengaku bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap seorang peguam wanita, September lalu.
Tertuduh, Heng Hua Kian, 45, membuat pengaku tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Mahkamah juga memutuskan bahawa tertuduh dikenakan penjara 10 bulan bermula hari ini, jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Hua Kian didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menghantar mesej yang mengancam akan mendatangkan kematian kepada mangsa berusia 36 tahun dengan niat menimbulkan ketakutan di Home Taste, Lebuh Macallum di sini, kira-kira pukul jam 5.33 petang, 29 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili peguam, Koay Chun Hian.
Semasa prosiding, Ahmad Danial memohon mahkamah menetapkan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kesalahan tersebut memberi kesan trauma yang mendalam terhadap mangsa.
Bagaimanapun, Chun Hian merayu agar hukuman denda minimum dikenakan anak guamnya memandangkan tertuduh perlu menjaga ibu bapa termasuk tiga anak yang masih bersekolah.
“Anak guam saya kini dalam proses perceraian dan sedang menerima rawatan psikiatrik. Dia juga mengalami tekanan emosi yang berat ketika kejadian berlaku. Tertuduh turut memohon maaf kepada mangsa atas trauma yang dialami,” katanya. -KOSMO! ONLINE