BANDAR GAZA – Hamas menyerahkan 20 tebusan Israel yang masih hidup hari ini di bawah perjanjian gencatan senjata, ketika Presiden Donald Trump dan pemimpin dunia lain bersiap sedia untuk sidang kemuncak mengenai Gaza.
Pembebasan itu adalah sebahagian syarat perjanjian gencatan senjata tajaan Trump, dengan Israel akan membebaskan hampir 2,000 tahanan yang ditahan di penjara-penjaranya sebagai pertukaran.
Penyerahan itu berlaku ketika Trump tiba di Israel untuk lawatan kilat menjelang perjalanan ke Mesir untuk sidang kemuncak keamanan, setelah mengisytiharkan perang tamat.
“Menurut maklumat Palang Merah, tujuh tebusan telah dipindahkan dan dalam perjalanan ke pasukan IDF (tentera Israel) di Semenanjung Gaza,” kata tentera dan perkhidmatan keselamatan Israel.
Memetik seorang pegawai Israel, penyiar awam negara haram itu kemudian melaporkan pembebasan 13 tebusan lain.
Di bawah perjanjian gencatan senjata sama, Hamas sepatutnya mengembalikan mayat 27 tebusan yang meninggal dunia atau terbunuh ketika dalam tahanannya, serta mayat seorang askar Israel yang maut pada tahun 2014 semasa konflik Gaza sebelumnya.
Antara mereka yang akan dibebaskan oleh Israel sebagai pertukaran pula adalah tahanan keselamatan dan kira-kira 1,700 penduduk Palestin yang ditahan tentera Israel di Gaza semasa perang.
Pada 7 Oktober 2023, pejuang Hamas menahan 251 tebusan semasa melancarkan serangan ke atas Israel dengan kebanyakan mereka orang awam.
Semua kecuali 47 daripada tebusan itu telah dibebaskan dalam gencatan senjata terdahulu. – AFP