SEPANG – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli bakal memacu jentera KTM spesifikasi kilang pada aksi Grand Prix (GP) Malaysia yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 24 hingga 26 Oktober ini.
Pelumba kelahiran Terengganu itu diberi peluang beraksi di laman sendiri menerusi slot wildcard dalam kelas Moto3 sekali gus menjalani persiapan terbain selain turut menjalani sesi latihan bersama jentera baharunya di Sepang.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, menegaskan pihaknya mahu memastikan Danish benar-benar bersedia menghadapi cabaran kali ini dengan menyediakan jentera ‘Kelas A’ bagi memberi peluang maksimum untuk menyerlah di hadapan penyokong sendiri.
“Danish sudah beberapa kali menjalani sesi latihan di Sepang dan selepas berbual dengannya semalam, saya tahu dia cukup teruja untuk berlumba di depan penyokong sendiri.
“Kami pastikan dia mendapat jentera terbaik, iaitu KTM keluaran kilang, dan saya harap kenyataan ini dapat menamatkan segala spekulasi yang berlegar sebelum ini.
“Saya berpesan kepadanya supaya kekal fokus, kawal tekanan dan elak sebarang insiden tidak diingini. Kami akan berada di belakangnya sepenuhnya,” katanya.
Sebelum ini, timbul kebimbangan dalam kalangan peminat bahawa prestasi Danish mungkin terjejas sekiranya dia tidak sempat menjalani ujian bersama jentera sebenar Moto3 sebelum turun beraksi di GP Malaysia.
Hakim Danish dijangka menyertai kelas Moto3 secara sepenuh musim tahun depan, namun buat masa ini, keputusan akhir bergantung kepada penyertaan penaja utama yang bakal bersama beliau dalam kempen tersebut. -KOSMO! ONLINE