MANCHESTER – Keluarga Glazer sudah menetapkan tarikh akhir untuk penjualan pemilikan saham Manchester United selepas menarik minat sebuah konsortium yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Sepanjang minggu lalu, tersebar berita mengenai spekulasi penjualan pemilikan kelab itu oleh keluarga Glazer yang dilaporkan mahukan nilai sehingga £5 bilion (RM28.18 bilion) untuk melepaskan pegangan mereka.
Setakat ini, Glazer masih memiliki majoriti saham kelab tersebut dengan pegangan 48.9 peratus (%), manakala Sir Jim Ratcliffe menerusi INEOS menjadi pemilik bersama dengan pegangan saham 28.94% dengan nilai lebih £1.3 bilion (RM7.32 bilion).
Taikun sukan Arab Saudi, Turki Al-Shikh sebelum ini membuat pendedahan mengejutkan apabila menyebut terdapat rundingan mengenai penjualan pemilikan kelab itu kepada pelabur baharu sebelum beliau membuat penerangan lanjut mengenainya.
“Saya membuat naik kenyataan mengenai United sebelum ini mengenai potensi penjualan pemilikan mereka. Sekadar untuk menjelaskan bahawa saya bukanlah pelabur berkenaan dan mereka juga bukan dari negara saya,” katanya.
Penjelasan itu sekali gus mengesahkan kemungkinan sebuah konsortium dari UAE yang dikatakan berminat untuk menguasai penuh pemilikan United biarpun belum ada sebarang bidaan dilakukan.
Sekiranya Glazer bersetuju untuk melepaskan pemilikan mereka, ia akan turut memberi kesan kepada pegangan saham milik Ratcliffe apabila dikatakan wujud perjanjian bersama yang telah dipersetujui sebelum ini.
INEOS dilaporkan terpaksa bersetuju untuk menjual pegangan mereka sekiranya Glazer melepaskan pemilikan seandainya pelabur baharu mahukan keseluruhan saham United dalam transaksi berkenaan.
Laporan menyebut bahawa Glazer mungkin akan menjual saham mereka sebelum Februari 2027 kerana nilainya akan kekal $33 (RM139.30) atau pun nilai berkenaan akan turun selepas tarikh berkenaan.
Ketika ini, saham United hanya didagangkan pada harga $16 (RM67.53) untuk sesaham menyebabkan mereka perlu menjual saham selepas Februari 2027 untuk mengelak pelabur baharu mendapatkan pegangan pada harga yang lebih rendah. – AGENSI