fbpx
Dr. Zaliha

Dr Zaliha nafi berbohong isu Kampung Sungai Baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa meminta Tan Sri Annuar Musa mengemukakan bukti bahawa beliau berbohong serta memesongkan fakta berkenaan isu Kampung Sungai Baru.

Dr. Zaliha berkata, fakta yang beliau bentangkan berkenaan Kampung Sungai Baru ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu adalah bersandarkan dokumen rasmi kerajaan yang direkodkan.

Justeru, Dr. Zaliha meminta Annuar mengemukakan bukti beliau memesongkan fakta kerana integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan yang tidak bersandarkan asas.

“Saya terpanggil menjawab tuduhan Annuar yang mendakwa konon saya telah berbohong kepada Parlimen, melakukan fitnah dan memesongkan fakta dalam Sesi Penerangan Menteri pada 9 Oktober 2025.

“Tuduhan yang dilemparkan adalah satu fitnah yang serius yang mencalar reputasi saya sebagai seorang menteri, malah adalah percubaan merendahkan integriti Parlimen itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Zaliha sebelum ini memaklumkan kepada Dewan Rakyat, keputusan berkaitan kelulusan pewartaan membabitkan Kampung Sungai Baru mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) pada 2021 dibuat dalam tempoh tiga hari.

Beliau dipetik sebagai berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas permohonan mengambil alih tanah berkenaan termasuk kediaman flat dan lot teres, dikemukakan pemaju kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)

Justeru, katanya, kewajaran kelulusan secara tergesa-gesa yang menyebabkan semua tanah terbabit menjadi hak milik pemaju perlu diajukan kepada Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.

Annuar bagaimanapun menyifatkan kenyataan tersebut sebagai ‘mislead’ di Parlimen dan memberi notis kepada Dr. Zaliha untuk menjelaskan dan mengulangi tuduhan itu secara bersemuka dengannya di luar Parlimen.

Dr. Zaliha berkata, fokus Kerajaan Madani pada masa ini adalah memastikan penduduk yang telah bersetuju kembali semula ke Kampung Sungai Baru dengan segera dan memperoleh hak yang sewajarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI