KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1 Oktober lepas bagi memperluaskan akses pasaran dan peluang pelaburan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata, pada 23 Jun lepas pula, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA).
“Langkah ini merupakan sebahagian usaha MITI bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing dan tahan menghadapi perubahan drastik dalam landskap perdagangan global, termasuk peningkatan langkah proteksionis.
“Langkah utama adalah bagi memperluas dan memperkukuh rangkaian (FTA) sedia ada seperti RCEP dan CPTPP di samping mempelbagaikan rakan dagang strategik baharu,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang ingin tahu kesan pergantungan tinggi negara terhadap eksport dan peningkatan langkah proteksionis global.
Dalam pertanyaan tambahan pula, Syerleena juga bertanya langkah MITI untuk mempelbagaikan rakan dagang serta mengukuhkan peranan dalam rantaian bekalan ASEAN serta memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak tersisih daripada perjanjian perdagangan antarabangsa seperti CPTPP dan RCEP.
Sementara itu Chin Tong turut memaklumkan melalui RCEP, Malaysia berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi yang menghubungkan ekosistem pengeluaran ASEAN dengan pasaran global, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik, automotif, produk halal dan ekonomi digital.
“Dalam konteks RCEP dan CPTPP, wujud bab khusus mengenai PKS yang menekankan perkongsian maklumat, peningkatan keupayaan dan penyediaan akses pasaran kepada segmen perniagaan berkenaan.
“MITI bekerjasama dengan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk membangunkan program latihan, bimbingan eksport serta platform e-dagang rentas sempadan bagi memudahkan penyertaan PKS dalam perdagangan global,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE.