KUALA LUMPUR – Maritim Malaysia (APMM) bakal menerima pelbagai aset baharu termasuk kapal peronda pesisir (APV) kelas Bendahara serta dua kapal peronda luar pesisir (OPV).
Jelas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, selain itu, APMM juga bakal mendapat empat helikopter AW189, dua kapal pelbagai guna, empat bot pemintas (PTK), 23 bot RHIB, dua bot NGPV dan dua bot NGPPV.
“Gabungan aset permukaan dan udara ini akan meningkatkan keupayaan rondaan jarak jauh operasi pantas di pesisiran pantai serta pemantauan udara yang lebih meluas, sekali gus membolehkan APMM melaksanakan operasi penguatkuasaan secara menyeluruh dan efektif,” katanya di Dewan Rakyat.
Tambah Shamsul Anuar, keupayaan operasi APMM turut diperkukuh melalui kerjasama dengan agensi lain termasuk ATM, PDRM, Jabatan Perikanan dan pihak industri pelabuhan.
Usaha ini melibatkan perkongsian maklumat risikan maritim, rondaan bersama, serta operasi bersepadu bagi memastikan kawalan keselamatan maritim negara lebih efektif.
Menurut Shamsul Anuar lagi, langkah-langkah itu penting bagi memastikan APMM terus mampu memantau dan mengawal perairan Malaysia yang luas serta menghadapi cabaran maritim masa kini.
“KDN sentiasa melalukan operasi bersama bagi memastikan kita melaksanakan tanggungjawab dan tidak melakukan pertindihan, yang penting isu-isu pencerobohan dapat dikendalikan dengan baik dan berkesan,” katanya.- KOSMO! ONLINE.