VARAZDIN – Croatia sudah selangkah melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Gibraltar pada aksi kelayakan Kumpulan L di Stadium NK Varazdin awal pagi tadi.
Tiga gol menerusi Toni Fruk, Luka Sucic dan Martin Erlic menyaksikan Croatia terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu peringkat kumpulan dengan 16 mata selain kurang satu perlawanan.
Ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menganggap mereka sudah pun layak ke Piala Dunia selain menghamburkan pujian kepada anak-anak buahnya selepas menampilkan aksi cukup cemerlang di peringkat kelayakan.
“Saya fikir kami sudah melaksanakan tugas yang diamanahkan, iaitu untuk melayakkan diri ke Piala Dunia. Tahniah kepada semua pemain kerana sudah berjaya mencapai objektif selepas enam perlawanan.
“Ramai menganggap bahawa kami berada dalam kumpulan yang paling senang tetapi saya fikir kami layak kerana Croatia sentiasa menampilkan aksi konsisten selain merupakan salah sebuah pasukan terbaik dunia,” katanya.
Walaupun sudah melayakkan diri ke Piala Dunia, namun beliau tidak mahu pemain-pemainnya berasa selesa kerana cabaran selepas ini menjanjikan aksi lebih sukar dan memerlukan persiapan lebih rapi.
“Masih banyak kerja perlu dilakukan kerana kami mahu menjadi lebih baik dan mencapai sasaran lebih tinggi. Apa yang penting sekarang adalah kami perlu bersiap sedia untuk ke Piala Dunia,” ujar Dalic. – AGENSI