PUTRAJAYA – Siling penggunaan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa telah dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan menerusi manfaat subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95).
Kementerian Kewangan berkata, pihaknya telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat dengan melibatkan lebih 53,900 individu yang akan menerima kenaikan siling kelayakan kepada 600 liter sebulan.
“Selain itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima Budi95 iaitu pemandu yang baru mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat BUDI95,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Selain itu, Budi95 kini diperluaskan kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak.
Kementerian Kewangan berkata, jumlah itu berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan.
Sebelum ini, kelayakan Budi95 diperluaskan kepada pengguna bot di Sabah dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia minggu lalu.
“Kerajaan kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE