fbpx
MOHD. ALI (tengah) meneliti kualiti buah tin segar yang dipetik di Ladang Buah Tin AKE Benefigs di Kampung Tersusun DMDI, Bukit Senggeh, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Buah tin rancakkan sektor pelancongan Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Tanaman buah tin kini menjadi salah satu tarikan utama agropelancongan di Melaka apabila projek ladang terbesar seluas 215,278 kaki persegi dibangunkan di Kampung Tersusun DMDI, Bukit Senggeh di sini.

Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, projek tersebut dilaksanakan bersama AKE Benefigs sejak Mei lalu dengan menggabungkan konsep pertanian moden, pendidikan komuniti dan pelancongan berasaskan agro.

Ujarnya, usaha itu membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat luar bandar.

“Melalui kerjasama ini kita mahu menarik lebih ramai lagi orang muda dan pengusaha bumiputera untuk terlibat dalam peladangan buah tin, sekali gus memperkukuh sektor pertanian dan agropelancongan negeri.

“Usaha ini juga seiring dengan hasrat menjadikan Kampung Tersusun DMDI sebagai model pembangunan komuniti berteraskan Islam dan inovasi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ladang Buah Tin AKE Benefigs yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam merangkap Presiden DMDI di Kampung Tersusun DMDI, Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif AKE Groups, Datuk Dr. Bakhtiar Aliff Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif AKE Benefigs, Mohamad Hafidz Arifin.

Sementara itu, Mohamad Hafidz berkata, ladang tersebut turut berfungsi sebagai tapak pembelajaran terbuka bagi pelajar dan masyarakat memahami konsep pertanian moden menggunakan teknologi serta amalan mesra alam.

Menurutnya, ladang berkenaan mempunyai lebih 2,000 pokok buah tin pelbagai varieti termasuk merah dari Jepun dan kuning dari Algeria, yang mampu menghasilkan 20 hingga 30 kilogram buah segar sehari.

“Buah tin mempunyai nilai pasaran tinggi dan berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu negara, malah melalui sistem pertanian organik serta sistematik, ia mampu berkembang sebagai komoditi berdaya saing di Asia Tenggara.

“Malaysia kini mengimport kira-kira 600 tan buah tin setahun dari negara seperti Turkiye, Afrika Selatan dan Peru. Justeru melalui inisiatif kebergantungan itu diharap dapat dikurangkan dan Melaka diangkat sebagai pusat tanaman buah tin serta destinasi agropelancongan baharu negara,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini ladang tersebut turut mengeluarkan beberapa produk hiliran berupa makanan dan minuman termasuk jem buah tin, sambal buah tin, biskut dan jus yang ditawarkan di lokasi agropelancongan itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI