KUALA LUMPUR – Golongan bawah umur yang terlibat dalam perbuatan buli tidak boleh menganggap diri mereka kebal daripada tindakan undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli yang sedang digubal akan memastikan setiap kes mendapat keadilan sewajarnya sama ada pelajar bawah umur atau di institusi pengajian tinggi.
“Ramai beranggapan bawah 18 tahun tidak boleh dikenakan tindakan. Itu tidak betul. Hukuman tetap boleh dikenakan, cuma pendekatan dan jenis hukuman berbeza bergantung kepada umur dan tahap kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli bersama wakil pelajar institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.
Menurut Azalina, tribunal tersebut akan berperanan sebagai platform separa kehakiman (quasi-judicial) yang lebih cepat, sulit dan berkesan berbanding sistem mahkamah biasa.
“Tribunal ini bukan sekadar menghukum, tetapi juga mencari penyelesaian. Ia boleh jadi platform mediasi, kaunseling atau pendidikan untuk membimbing pelaku supaya berubah,” katanya.
Jelas beliau, bagi kes melibatkan pelajar bawah 18 tahun, penyelesaian awal tetap perlu dibuat di peringkat sekolah, namun jika tidak berpuas hati, pihak terlibat boleh membawa kes ke tribunal.
“Kita tidak mahu pelajar atau ibu bapa berasa tiada saluran lain untuk menuntut keadilan selepas keputusan dibuat oleh pihak sekolah,” katanya.
Azalina berkata, RUU baharu itu turut memperincikan definisi buli secara menyeluruh termasuk buli fizikal, emosi, sosial dan siber.
“Sekarang definisi ‘buli’ terlalu umum. Jadi undang-undang ini akan jadi asas untuk mentakrifkan perbuatan buli dalam konteks semasa agar ia lebih mudah dikuatkuasakan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, bagi kes serius seperti buli yang menyebabkan kecederaan atau kematian, ia tetap dikategorikan sebagai kesalahan jenayah dan perlu dibawa ke mahkamah.
“Kalau perbuatan buli itu menyebabkan kematian, ia bukan lagi kes biasa, tapi jenayah. Jadi, ia tetap akan disiasat oleh polis dan dibicarakan mengikut undang-undang jenayah,” katanya.
Azalina berkata, kerajaan kini giat mengumpul pandangan daripada sesi town hall seluruh negara termasuk dari pihak sekolah, PIBG, NGO dan pelajar sebelum RUU berkenaan dibentangkan di Parlimen.- KOSMO! ONLINE.