KUALA LUMPUR – “Anak muda mesti jadi suara paling lantang menentang rasuah di negara ini, tiada lagi penyeludupan dan penyelewengan!”
Itu seruan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu generasi muda tampil sebagai barisan hadapan dalam perjuangan membanteras rasuah di semua peringkat.
Beliau berkata, golongan muda tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya perlu memimpin perubahan budaya integriti dalam negara.
“Inilah sebabnya saya sering bercakap tentang pentadbiran yang baik, tentang tadbir urus.
“Kepimpinan mesti bersih dan perlu hentikan semua perkara tidak berfaedah ini. Hentikan rasuah dalam negara kita,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap dalam program In-Conversation With Prime Minister sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan pelbagai langkah diambil kerajaan bagi memastikan negara bebas rasuah, termasuk mengutip semula RM15.5 bilion wang diseleweng untuk disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk subsidi.
“Sekarang, disebabkan itu, saya dapat memulakan sesuatu yang sangat dekat di hati saya, iaitu pendidikan seharusnya percuma.
“Jadi saya mulakan, bukan dengan cara yang radikal, tetapi secara berperingkat bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik.
“Mulai tahun depan, golongan miskin tegar di negara ini akan menikmati pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti. Insya-Allah, jika tadbir urus negara kita baik, kita akan bergerak sedikit demi sedikit ke arah itu,” katanya.- KOSMO! ONLINE