KOTA TINGGI – Seorang pemuda tidak sempat menunjukkan kereta Volkswagen Golf yang baru dibeli seminggu kepada ahli keluarganya selepas terlibat dalam nahas tiga kenderaan yang meragut tiga nyawa di Kilometer 56 Lebuh Raya Senai – Desaru pagi semalam.
Pemandu Volkswagen Golf, Muhammad Hafizhan Hanafi Norhaizal, 21, antara yang maut dalam kemalangan melibatkan kenderaan miliknya dengan Toyota Fortuner dan Honda CR-V.
Dua rakannya yang menaiki kenderaan sama Fazrizal Izuan Zuhaimi, 20, serta Muhammad Abdul Khalid Ab Rashid, 19, turut maut dalam nahas itu.
Nurmariana Irwayu, 25, berkata, adiknya, Muhammad Hafizhan sebelum ini telah memaklumkan kepada keluarga tentang pembelian kereta barunya itu dan merancang untuk pulang membuat kejutan pada bulan ini.
“Arwah ada ambil gambar stereng kereta dan dihantar ke WhatsApp keluarga kerana teruja dapat membeli kenderaan itu.
“Katanya nak buat ‘surprise’ (kejutan), namun tak sangka pula tidak kesampaian selepas kereta barunya terbakar dalam kemalangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi hari ini.
Dalam pada itu, ibunya, Zanaidah Mat Isa, 44, berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan anak keduanya itu dua hari lalu sebelum kemalangan terjadi. – KOSMO! ONLINE