SEPANG – Laungan ‘Free Palestine’ dan ‘Bangkit Gaza’ mengiringi sembilan delegasi Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Miles to Gaza (TMTG) ketika tiba di tanah air petang ini.
Mereka menaiki pesawat Turkish Airlines dari Istanbul pada Ahad dan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 4 petang tadi.
Ketibaan mereka disambut oleh isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, selain waris dan ahli keluarga aktivis berkenaan.
Misi itu diketuai Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali bersama lapan lagi aktivis iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Terdahulu, seramai sembilan aktivis Malaysia yang mengikuti gelombang ketiga flotilla ditahan rejim Israel Rabu lalu ketika membawa bekalan ke Gaza sebelum dibebaskan pada Jumaat selepas ditahan selama beberapa hari.
Dalam pada itu, Kementerian Luar mengesahkan semua sembilan rakyat Malaysia itu dipindahkan keluar dari Israel dengan menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan selamat tiba di Istanbul pada pukul 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).
Kesemua mereka antara 150 aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel selepas kapal konvoi kemanusiaan yang mereka sertai ditunda ke Pelabuhan Ashdod. – KOSMO! ONLINE