fbpx
MARDI HIMAL di Nepal menawarkan keindahan yang tidak tergambar untuk dinikmati pendaki.

Tiap titis peluh ‘terbayar’ sepanjang daki Mardi Himal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDAKI ke Mardi Himal di Nepal merupakan antara pengalaman paling memukau dan menyentuh jiwa bagi sesiapa yang mencintai keindahan alam semula jadi.

Terletak di kawasan Annapurna, laluan ini masih dianggap ‘permata tersembunyi’ berbanding trek popular seperti Annapurna Base Camp (ABC) atau Everest Base Camp (EBC).

Menurut ketua pelancong separuh masa, Muhammad Haris Hakimi M. Zamri, 27, keindahan panoramanya tidak kurang hebat. Gabungan hutan rhododendron berwarna-warni, kabus pagi yang menari di antara pepohon serta pandangan dekat Gunung Machhapuchhre yang megah menjadikan setiap langkah terasa seolah-olah berjalan di dalam lukisan hidup.

“Perjalanan saya bermula dari bandar Pokhara, sebuah bandar yang tenang di pinggir tasik Phewa. Dari situ, perjalanan ke titik permulaan di Kande mengambil masa lebih kurang sejam dengan kenderaan.

“Perjalanan hari pertama dan kedua membawa kami melalui laluan berbukit, melewati ladang-ladang kecil dan kampung tradisional Nepal yang damai,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, anak-anak kampung sering tersenyum sambil melambai, mengingatkan bahawa meskipun laluan ini mencabar, keramahan penduduk tempatan menjadi sumber semangat yang menghangatkan hati.

Hari ketiga pendakian membawa kami memasuki kawasan hutan tebal. Pokok rhododendron yang berbunga merah jambu dan merah terang mencipta suasana magis.

Udara di sini mula menjadi lebih nipis dan kabus yang turun di waktu petang menambahkan misteri pada suasana.

Pendakiannya seolah-olah mendaki
di dalam lukisan hidup.

Kongsinya, apa yang mencabar sepanjang perjalanan adalah adaptasi dengan persekitaran di altitud tinggi dan juga jalan yang agak licin di sepanjang perjalanan.

“Laluan menuju ke Low Camp dan seterusnya ke High Camp semakin mencabar dengan laluan berbatu dan curam, namun setiap peluh yang menitis dibayar dengan pemandangan indah gunung-gunung bersalji yang seolah-olah semakin menghampiri.

“Momen paling berharga tiba saat pendakian ke Mardi Himal View Point, puncak tertinggi dalam trek ini.

“Kami memulakan perjalanan seawal pukul 4 pagi dalam suhu yang hampir beku. Cahaya matahari pertama yang menyinari puncak Machhapuchhre, gunung yang juga dikenali sebagai Fishtail Mountain kerana bentuknya yang unik, benar-benar menakjubkan,” ujar pemuda asal Kuala Terengganu itu.

Kongsinya lagi, saat itu, seluruh keletihan hilang. Dari puncak, pandangan terbentang luas memperlihatkan Annapurna South, Hiunchuli dan Mardi Himal sendiri berdiri megah di bawah langit biru.

Turun kembali ke bawah terasa jauh lebih ringan, mungkin kerana hati dipenuhi rasa syukur dan kepuasan.

Dalam diam, dia sedar bahawa mendaki bukan sekadar tentang sampai ke puncak, tetapi tentang perjalanan itu sendiri iaitu tentang ketahanan, kesabaran dan keindahan yang muncul apabila meninggalkan keselesaan.

“Mardi Himal bukan sekadar destinasi, ia satu pengalaman rohani yang mengajar erti kecilnya manusia di hadapan kebesaran alam. Bagi pencinta alam dan pengembara yang mencari kelainan, Mardi Himal menawarkan gabungan sempurna antara cabaran fizikal dan ketenangan batin,” jelasnya.

Katanya lagi, ia bukan saja destinasi pendakian, tetapi juga tempat menemui semula diri sendiri, di antara awan, angin sejuk Himalaya dan keheningan yang sukar digambarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI