TEL AVIV – Tentera Amerika Syarikat (AS) mula tiba di Israel semalam untuk mengambil bahagian dalam pasukan petugas bersama bagi memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza, lapor agensi berita Anadolu.
Memetik dua pegawai AS, saluran berita ABC News melaporkan, 200 tentera akan tiba di Israel untuk menubuhkan pusat penyelarasan yang akan menyelia pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Ia akan beroperasi dalam bidang berbeza termasuk pengangkutan, perancangan, logistik, keselamatan dan kejuruteraan.
“Tentera AS tidak akan memasuki Gaza, mereka akan menjalankan aktiviti di Israel di bawah perintah Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM),” kata Komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper.
Tambah Cooper, tentera AS akan menyelaraskan pasukan petugas multinasional yang akan ditempatkan di Gaza. Ia dijangka merangkumi tentera dari Mesir, Qatar, Turkiye dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
“Usaha hebat ini akan dicapai tanpa tentera AS menjejakkan kaki di Gaza,” tulis Cooper di platform X. – AFP/AGENSI