KEMAMAN – “Saya kehilangan seorang anak yang penuh dengan kasih sayang dan sangat cakna terhadap keluarga”. Itu luahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permasuri, Datuk Abd. Halim Jusoh yang kehilangan anak keduanya, Nurhazwani, 34, akibat lemas di sebuah resort di daerah ini pukul 5.30 petang semalam.
Berkongsi detik cemasnya, Abd. Halim berkata, sewaktu kejadian dia bersama isteri sedang melayani cucunya di kolam kanak-kanak bersebelahan kolam dewasa yang merupakan lokasi anak perempuannya mandi bersama suami.
“Anak saya (Nurhazwani) dan suaminya berada saling berdekatan, kejadian berlaku terlalu pantas, boleh dikatakan tidak sampai satu minit suaminya berpaling ke arah lain, dia tenggelam ke dalam air.
“Menantu saya cuba menyelamatkan anak saya dan membawanya ke tepi kolam sebelum melakukan bantuan pernafasan (CPR) dengan bantuan kakitangan resort berkenaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman di sini hari ini.
Abd. Halim berkata, anak kedua daripada empat beradik itu dikejarkan ke Hospital Kemaman sebelum disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang, Selangor selepas proses bedah siasat selesai pukul 4 petang tadi.
“Saya memegang erat tangan anak saya (Nurhazwani) sehinggalah dia disahkan meninggal dunia. Allah lebih sayangkannya dan saya reda dengan ketentuanNya. Nurhazwani yang merupakan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang sering menghubungi bertanya khabar biarpun tinggal berjauhan,” katanya – KOSMO! ONLINE